Wednesday, August 17, 2011

Istiqamah


A: Bagusnya aku tengok orang kampung tym awal2 Ramadhan ni, berbondong ha datang ke masjid, bagus la kalau terusan macam ni. kan B?

B: Bagus tu memanglah bagus, tapi selalunya.. berdasarkan pengamatan aku dari tahun2 yang lepas memang susah nak nampak macam ni sampai akhir Ramadhan. tak ramai orang kita yg istiqamah buat benda baik.

A: Itulah pasalnya, ALLAHUAKBAR. harapnya terusan lah orang kita camni kan?

B: Yep, itulah yang sepatutnya. Ameen.

Ini situasi yang sering kita nampak dalam masyarakat kita kan? rase2nye memang satu Malaysia rase cmni.. tak gitu? common sangat rasenye situasi ni..

Ape puncanya? tentulah kurang nilai istiqamah dan ikhlas bila buat sesuatu yang baik kan? perkara yang baik memang rasa semangat nak buat tym mula2 je, bile dah lame2 tu mula lah lemah semangatnya, kurg amalannya dan sebagainya..

Macam mane nak atasi masalah ni? harus bahkan wajib ditanam dalam diri setiap daripada kita apabila melakukan sesuatu perkara yang baik pertamanya ikhlas dan seterusnya istiqamah yakni berterusan.. Dua 'I' ni sangat-sangat penting untuk kita terus dan terus melakukan tak kira apa janji perkara yang baik..

Teringat kata- kata hikmah yang bagus utk kita renungi.
" kerja beransur tak bertahan, kerja bertangguh tak menjadi"
kerja apa yang sepatutnya? kerja yang ikhlas dan berterusan.
Makanya?? Sama-sama lah kita istiqamah dalam kehidupan kita.. Wallahu a'lam
p/s :*doakan juga saya istiqamah dalam penulisan ini. Ameen :)

Selingan : Kerapkali kedengaran hadith yg menyatakan bahawa awal Ramadhan ini rahmat, tengahnya maghfirah dan akhirnya keselamatan dari api neraka. Hadith ini didapati dhaif. Bahkan yang sebenarnya keseluruhan Ramadhan itu dipenuhi dengan rahmat,maghfirah dan keselamatan dari api neraka. Wallahu a'lam.

Friday, August 5, 2011

Bacalah..


Kenapa tajuk entry ni "bacalah"? Sebenarnya sengaja letak untuk sama-sama kita insaf dan sedar akan kepentingan membaca samada untuk hidup di sini atau di sana kelak.

Semua orang tahu yang membaca itu jambatan ilmu, Ya memanglah bukan hanya dengan membaca saja kita boleh peroleh ilmu, tapi membaca adalah salah satu method yang paling berkesan dan paling ampuh untuk kita peroleh ilmu.

Membaca tak semestinya baca buku yang berjela-jela muka suratnya, sebenarnya cukup kalau diamalkan sehari satu artikel untuk jadi bahan bacaan.

Pemilihan bahan bacaan pun sebenarnya perlu diambil berat. Bukan semua bahan yang kita baca itu elok untuk minda dan akal. Boleh saja untuk kita baca semua yang ada, asalkan minda kita punya mampu untuk menapis dan menyaring maklumat yang kita peroleh seterusnya kita keluarkan dalam bentuk yang lain samada penulisan, percakapan dan lain2.. macam memasak la jugak kan. ada penyediaan bahan, kemudian memasak, kemudian menghidang seterusnya menghadam.


Islam agama mundur yang dianuti oleh orang-orang yang kurang tamadun? Mesti ada antara kita yang kerap terngiang statement macam ni dalam kehidupan seharian mereka. Hakikatnya, bukan salah agama kalau penganutnya tak bertamadun, tapi salah penganutnya sendiri kan? Agama yang indah ini sendiri sangat menganjurkan ummatnya untuk jadi bertamadun dengan saranan pertamanya supaya ummat ini membaca sepertimana yang disebutkan dalam wahyu pertama surah al-Alaq ayat 1-5:

[1]
Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), [2]Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku;

[3]Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah,
[4]Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan,
[5]Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

nah! adakah Islam tidak menganjur ummatnya untuk jadi bertamadun? bahkan sekali-kali tidak!

Makanya?? Bacalah.. :)

Selingan : Baru pulang dari Sarawak hujung minggu lepas, banyak jugaklah pengalaman yang dapat dikaut sepanjang perjalanan. harap perjalanan diberkatiNya.

Antara yang paling ketara ialah bagaimana susahnya untuk mencari makanan Muslim di negeri bumi kenyalang sana. walaupun ketua tertinggi negeri itu muslim, namun masih sukar didapati makanan yang tidak diragui kehalalannya. Harus diberi perhatian oleh pihak berwajib dalam perkara ini.


Monday, July 25, 2011

Mudah..

Kenapa nak tulis entry panjang-panjang sedangkan tulis pendek-pendek lebih mudah orang faham?

Kenapa nak guna bahasa susah-susah kalau bahasa yang mudah itu mampu masuk meresap dalam hati pembaca?

Kenapa juga perlu susahkan benda sedangkan yang senang terhampar di depan mata?

Macam tu juga dengan agama yang indah lagi bermakna ini.

Teringat pesan junjungan s.a.w :

Sesungguhnya agama ini adalah agama yang mudah, dan tidaklah seseorang itu melampaui batas dalam menjalankan agama ini kecuali akan kalah dengan sendirinya. Oleh kerana itu berusahalah untuk mengamalkan agama ini dengan benar, dan kalau tidak bisa sempurna, maka berusahalah untuk mendekati kesempurnaan. Dan bergembiralah kalian dengan pahala bagi kalian yang sempurna walau pun amalan kalian tidak sempurna. Dan upayakan menguatkan semangat beribadah dengan memperhatikan ibadah di pagi hari dan di sore hari dan di sebahagian malam (yakni waktu-waktu di mana keadaan badan sedang segar untuk beribadah). (HR. Al-Bukhari)

Nah! Cantik kan sabda Nabi s.a.w?

So, kenapa nak susahkan sedang yang mudah itu halal?

Makanya?? Permudahkanlah.. :)

Saturday, April 24, 2010

Di Mana Hendak Diperolehi Teman Yang Sejati

Antara kemanisan hidup ini apabila seseorang memiliki sahabat yang setia tanpa sebarang kepentingan.

Namun hal yang seperti ini amat sukar untuk diperolehi di dunia ini, sekalipun ramai yang selalu mendakwa dia adalah sahabat setia kita. Kita tidak tahu sejauh manakah dakwaan itu sebelum adanya ujian yang sebenar. Ramai yang pernah mendakwa sedemikian tetapi terbukti berbohong apabila ujian datang melanda.

Bahkan banyak persahabatan dalam dunia ini pun terjadi di atas kepentingan tertentu. Maka tidak hairan jika ia akan berakhir disebabkan kepentingan tertentu jua. Bahkan ada persahabatan yang diasaskan di atas kejujuran namun berakhir disebabkan kepentingan.

Memiliki persahabatan yang jujur dalam ertikata yang sebenar adalah nikmat kehidupan. Namun ia sebenarnya sukar untuk diperolehi secara meluas di alam maya ini melainkan dalam sejarah kehidupan golongan yang beriman dalam makna yang sebenar. Bahkan baginda Nabi s.a.w. menjamin bahawa sesiapa yang mempunyai sahabat tanpa kepentingan melainkan kerana Allah semata, maka dia akan mengecapi kemanisan iman.

Sabda baginda: “Tiga perkara sesiapa yang ada padanya maka dia mendapati kemanisan iman. (pertama) Hendaklah Allah dan rasulNya lebih dicintai mengatasi selain keduanya. (kedua) Hendaklah dia mencintai seseorang, tidak dia cintainya kecuali kerana Allah. (ketiga) Hendaklah dia benci untuk kembali kepada kekufuran sepertimana dia benci untuk dicampakkan ke dalam neraka” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Manisnya tebu tidak dapat digambarkan oleh perkataan buat sesiapa yang tidak pernah merasanya. Manisnya iman, hanya pemiliknya sahaja yang dapat mengecapi kenikmatan dan kekusyukannya. Dalam tiga ciri tersebut, baginda s.a.w nyatakan bahawa dengan mencintai seseorang hanya kerana Allah, akan terasalah manisnya iman. Indahnya kemanisan iman hanya pemiliknya yang faham.

Bagaimana mungkin kita dapat membina rasa cinta kepada seseorang kerana Allah semata? Pastilah dek kita tahu hubungan dan kasih sayang kita kepadanya mendapat keredhaan Allah. Mungkin kerana dia orang yang dekat kepada Allah, atau dia boleh menjadi faktor kita dapat mendekatkan diri kepada Allah. Apabila perasaan yang seperti itu terbina, kita akan dapat merasa nikmatnya perasaan cintakan seseorang kerana Allah. Hanya hubungan yang seperti itulah yang membuahkan kesetiaan dan kejujuran yang tidak mampu dibeli oleh pangkat, kedudukan dan harta.

Hubungan persahabatan seperti itu tidak ada di alam gelora manusia yang yang berkawan dengan seseorang kerana kepentingan atau kedudukan atau harta. Allah menyebut dalam al-Quran: (maksudnya) “Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, tidaklah engkau dapat menyatu-padukan di antara jantung hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan antara mereka. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa, lagi Maha Bijaksana” (Surah al-Anfal: 63).




Ia hanya wujud dalam alam persahabatan yang dibina atas nama Iman dan Islam. Maka kita akan lihat kesetiaan antara para pejuang Islam yang ikhlas sepanjang sejarah penuh dengan keajaiban. Mereka hapuskan dalam dairi hidup mereka perkataan khianat, kebencian dan permusuhan dari belakang, lalu digantikan dengan “aku kasihkan engkau kerana Allah”.

Kasih itu berkekalan semasa sahabatnya di puncak atau berada di bawah. Samada sahabatnya masih hidup, atau setelah meninggalkan dunia ini. Ini kerana tempat rujuk kasih mereka Maha Tinggi Lagi Tiada Kesudahan bagiNya, iaitu Allah s.w.t. Lihatlah sahabah Nabi s.a.w. Zaid bin al-Dathinah apabila dia ditangkap oleh pemimpin Quraish yang menentang Nabi s.a.w. lalu dibawa untuk dibunuh dan Abu Sufyan –ketika itu belum menganut Islam- bertanya kepadanya: “Wahai Zaid, aku bertanya engkau dengan nama Allah, tidakkah engkau suka Muhammad berada di tempat engkau sekarang, kami pancung kepalanya, dan engkau berada di samping keluargamu”. Jawab Zaid: “Aku tidak suka Muhammad berada di mana dia berada sekarang, terkena duri sedangkan aku berada di samping keluargaku”. Kata Abu Sufyan: “Aku tidak pernah melihat seseorang mengasihi seseorang seperti kasihnya sahabat-sahabat Muhammad kepada Muhammad” (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 4/75 Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah). Ya! Kasih yang mengharapkan hanya ganjaran Allah. Inilah kasih para pejuang yang sebenar antara mereka.

Persahabatan kerana Allah, memberi tanpa minta diganti, menyokong tanpa minta disanjung, memuji tidak kerana budi, berkorban tanpa menuntut ganjaran. Namun semuanya hanya mengharapkan kurniaan Allah jua yang menjadi punca kecintaan dan kasih sayang itu mekar antara satu sama lain. Sudah pastilah persahabatan itu dibina atas kebenaran yang sentiasa tunduk dan patuh kepada titah Allah dan RasulNya. Alangkah indahnya suasana ini.

Justeru itu Allah memuji golongan Muhajirin dan Ansar lalu dirakam kasih sayang antara mereka dalam al-Quran: (maksudnya) ”Bagi golongan fakir yang berhijrah, yang mereka diusir dari kampung halaman dan harta benda mereka (kerana) mencari kurnia daripada Allah dan keredhaanNya. Mereka menolong (agama) Allah dan RasulNya. Mereka itulah orang-orang yang benar. Orang-orang yang telah mendiami kota (Madinah) dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka itu (Muhajirin), mereka mencintai orang berhijrah kepada mereka. Mereka tiada menaruh sebarang keinginan (balasan) dalam dada mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada Muhajirin. Mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka juga memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung. Adapun orang-orang yang datang selepas mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: “Ya Tuhan kami, berilah keampunan kepada kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Ya Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang” (Surah al-Hasyar 8-10).

Hanya insan-insan yang seperti ini sahaja yang akan merasa manisnya perjuangan yang mereka bawa. Ini kerana mereka jelas matlamat yang hendak dituju dan jalan yang hendaklah dilalui. Bebas dari kepentingan diri, yang tinggal hanya kepentingan cita-cita yang suci. Maka tidak ada cerita jatuh-menjatuh antara mereka kerana jawatan dan pangkat.

Sebaliknya, sering ingin memberi kerana matlamat mereka adalah keredhaan Allah. Ia tidak dicapai dengan tumpas menumpas sesama pejuang yang betul niat dan tujuannya. Sebaliknya keredhaan itu dicapai dengan sering tolong menolong kerana Allah. Jika itu tidak ada, perjuangan itu untuk dunia semata dan pasti dalamnya penuh kepahitan walaupun pada zahir ada harta dan kemewahan.

Dalam hadis Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya dari kalangan hamba-hamba Allah adanya golongan yang mereka bukan para nabi, atau para syahid. Namun para nabi dan para syahid cemburu kepada mereka pada Hari Kiamat disebabkan kedudukan mereka di sisi Allah”. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Beritahulah kami siapakah mereka?”. Jawab Nabi: “Mereka itu golongan yang cinta mencintai dengan ruh Allah, tanpa ada hubungan kekeluargaan dan bukan kerana harta yang diidamkan. Demi Allah, sesungguhnya wajah-wajah mereka adalah cahaya, mereka berada atas cahaya. Mereka tidak takut pada saat manusia ketakutan, mereka tidak berdukacita ketika manusia berdukacita”.
Lalu baginda membaca ayat al-Quran: (maksudnya) “Ketahuilah sesungguhnya wali-wali Allah tiada ketakutan untuk mereka dan tidak pula mereka berdukacita” (Hadis riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani). Inilah golongan yang dilindungi Allah pada hari kiamat. Di dunia mereka mendapat kenikmatan persahabatan yang jujur dan ikhlas, di akhirat mereka dilindungi Allah.
Nilai persahabatan bukan pada wang atau peluang yang diberi. Atau kedudukan dan kerusi yang disogokkan. Semua itu tiada erti, jika ‘ada udang di sebalik mee’. Sesungguhnya senyuman ikhlas seorang sahabat sejati, lebih bererti dari dunia dan segala isinya, sehingga Nabi s.a.w menyebut: “Senyumanmu buat wajah saudaramu itu adalah sedekah” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).

Kita selalu dengar cerita pengkhianatan sesama sahabat dalam perniagaan, pekerjaan dan politik. Mendengarnya sahaja amat memeritkan, apatah lagi jiwa yang mengalaminya. Amat rapuhnya persahabatan jika dibina di atas kepentingan diri masing-masing. Ditikam oleh musuh, tidak seperit pedihnya seperti ditikam oleh sahabat yang rapat. Dirompak oleh perompak tidak sekecewa ditipu oleh rakan yang dipercaya. Dijatuh oleh lawan tidak sedahsyat direbahkan oleh teman seperjuangan.

Namun itu realiti dalam maya pada ini bagi hubungan sesama insan yang tidak dibina atas nama tuhan. Jika ada pihak yang jujur dalam persahabatan, tetapi pengkhianatan berlaku bererti samada dia silap memilih teman, atau prinsip perjuangan. Maka dalam memilih sahabat, lihatlah hubungannya dengan tuhan dan atas apa kita membina persahabatan dengannya.

Saya rasa dalam dunia perniagaan dan politik, persahabatan sejati amat sukar untuk dicari. Bukan perniagaan, atau politik itu kotor; kedua-duanya termasuk dalam ajaran Islam. Namun kedua bidang itu apabila tidak berpandukan ajaran Allah dan RasulNya maka akan menjadi sangat rakus, biadap, penuh dengan kepura-puraan, tidak berprinsip, tidak menghargai rakan dan taulan, bicara dan bahasanya penuh dengan kemunafikan.

Kepentingan diri masing-masing kadang kala bagai tuhan yang disembah. Sanggup lakukan apa sahaja demi kepentingan diri, apa yang dia tidak akan lakukan jika perintah oleh tuhan yang sebenar pun. Banyak perintah agama dia kata tidak mampu, namun jika ada kepentingan politik atau urus niaga lebih daripada itu dia sanggup lakukan.

Firman Allah dalam Surah al-Jathiah, ayat 23: (maksudnya): “Bagaimana fikiranmu (Wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya tuhan (yang dipatuhinya), dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana pengetahuanNya (tentang kekufuran mereka), dan ditutup pula atas pendengarannya dan jantungnya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikannya berkeadaan demikian)? oleh itu, mengapa kamu tidak mengingati?.

Betapa ramai orang politik yang dikelilingi oleh para pengikutnya, lalu kesemua mereka hilang apabila kuasa tiada lagi di tangan. Pada hari dia berkuasa; semuanya menjerit dan memuja, seakan sanggup hidup dan mati bersama. Namun apabila dia tidak mampu lagi memberi harta, pangkat dan kedudukan, melintas pun belum tentu mereka bersalaman.

Telah banyak bukti hidup dan mati yang tidak dapat dihitung lagi. Bahkan ada yang sehingga mati pun tidak dikunjungi. Namun jika anda berharta, sehingga ke pusara ada yang masih tunjuk muka. Bukan kerana kenang jasa, tapi kenang apa yang boleh dipusaka.

Tanpa iman, tiada kasih sayang hakiki dalam persahabatan. Sepatutnya orang kaya, atau orang politik jangan terlalu bangga apabila anda dipuji. Belum tentu ianya ikhlas dari hati sanubari. Mungkin diri anda atau perkara yang sama jika anda lakukan pada hari anda tiada kuasa atau harta, orang sama akan mencebik dan menghina anda.

Tetapi dek penangan kuasa dan harta; rupa anda yang ‘biasa-biasa’ dikatakan lawa, pidato anda yang tidak sedap dikatakan hebat, pendapat anda yang kolot dikatakan maju, idea yang lapuk dikatakan bernas, pandangan yang lemah dikatakan berhikmah, penampilan yang tidak bermaya dikatakan bercahaya. Semuanya kerana ingin mengampu kuasa dan harta.

Jika anda hidup dalam iklim yang sedemikian, percayalah persahabatan dan pengikut yang mendakwa setia semuanya bohong belaka. Anda hidup dalam alam khayalan seperti berkhayalnya seorang mabuk yang melihat wanita tua bagaikan gadis yang cantik menawan.
Carilah iman dan persahabatan atas dasar iman. Carilah prinsip perjuangan yang Allah redha, kita akan bertemu di sana sahabat-sahabat yang setia kerana Allah. Jika anda pernah merasai kemanisan iman dan persahabatan atas nama iman, anda akan tahu bahawa persahabatan palsu itu rasanya amat pahit dan meloyakan.

Lebih mendukacitakan Allah berfirman: (maksudnya) “Sahabat handai pada hari tersebut (kiamat) bermusuhan antara satu sama lain, kecuali golongan yang bertakwa” (Surah al-Zukhruf: 67). Ya, seperti mana di dunia mereka melepaskan diri apabila hilang kepentingan yang dicari, di akhirat mereka bermusuhan apabila melihat azab Tuhan yang terhasil dari dosa persahabatan dan pakatan yang pernah mereka lakukan di dunia.
Oh! Di mana hendak dicari teman yang sejati? Ya! Carilah perjuangan yang berprinsip dan diredhai Allah, di dataran itulah kalian akan temui teman yang sejati.

Kita Ketandusan Kejujuran Ulama Dan Keikhlasan Umara (dipetik dari blog Dr Asri (Minda Mufti))

Sejarah umat ini bukan sedikit, dahulunya dipenuhi dengan kisah-kisah para ulama yang sentiasa berpegang kepada prinsip dan jujur. Sementara umarak pula menerima nasihat dan bicara ulama dengan jiwa yang ikhlas dan inginkan kebenaran.

Beberapa buku sejarah menceritakan pada zaman pemerintahan Khalifah Yazid bin ‘Abd al-Malik (meninggal 105H), gabenor Iraq ketika itu ialah ‘Umar bin Hubairah. Gabenor tersebut telah memanggil dua orang tokoh ilmuwan besar umat ketika itu; ‘Amir al-Sya’bi dan al-Hasan al-Basri.

Beliau bertanya mereka berdua mengenali arahan-arahan Khalifah Yazid bin ‘Abdul Malik yang datang kepadanya. Ada diantaranya ada yang menyanggahi kebenaran. Kata ‘Umar bin Hubairah: “Jika aku taatkan Khalifah, aku menderhakai Allah, jika aku mentaati Allah aku akan menderhakai Khalifah”. Apa pendapat kamu?”.
Jawab al-Sya’bi: “Engkau hanya menjalankan tugas, dosa ditanggung oleh Khalifah”. Tanya ‘Umar bin Hubairah kepada al-Hasan al-Basri: “Apa pendapatmu pula?”. Jawab al-Hasan: “Wahai Gabenor! Engkau telah pun mendengar pendapat al-Sya’bi tadi”. “Aku mahu pendapatmu”, tegas gabenor itu.

Kata al-Hasan al-Basri: “Wahai ‘Umar bin Hubairah, akan datang kepadamu malaikat Allah yang bengis lagi tidak menderhakai perintah Allah, dia akan mengeluarkan engkau dari istanamu yang luas ke kuburmu yang sempit. Jika engkau bertakwa kepada Allah, Dia boleh melindungimu daripada tindakan Yazid bin ‘Abdul Malik, adapun Yazid bin ‘Abdul Malik tidak dapat melindungimu dari pada tindakan Allah. Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam menderhakai Pencipta (Allah). Wahai ‘Umar bin Hubairah! Engkau jika bersama Allah dalam ketaatan kepadaNya, Dia memeliharamu daripada bahaya Yazid bin ‘Abdul Malik. Namun jika engkau bersama Yazid dalam menderhakai Allah maka Dia serahkan engkau kepada Yazid “. Lalu menangislah ‘Umar bin Hubairah.

Lalu ditanya al-Hasan mengapakah beliau melakukan demikian? Jawabnya: “Kerana perjanjian yang Allah meterai untuk para ulama berkaitan ilmu mereka –seperti firman Allah dalam Surah Ali ‘Imran 187-: (maksudnya): Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian dari mereka yang telah diberikan Kitab (iaitu): “Demi sesungguhnya! hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya”. (lihat: al-Mizzi, Tahzib al-Kamal, 6/113, Al-Zahabi, Tarikh al-Islam, 2/333, Ibn Manzur, Mukhtasar Tarikh Dimasyq, 6/97).

Kita sebenarnya merindui kisah-kisah yang seperti ini. Sejarah umat ini bukan sedikit dahulunya dipenuhi dengan kisah-kisah agung yang sebegini. Kisah para ulama yang sentiasa berpegang kepada prinsip dan jujur. Sementara umarak pula menerima nasihat dan bicara ulama dengan jiwa yang ikhlas dan inginkan kebenaran.
Saya selalu bertanya mengapakah para pemerintah dahulu, setegas mana pun dia, sering menangis apabila mendengar nasihat para ulama. Mengapakah hari ini, kisah-kisah seperti itu hampir pudar? Jawapannya, adalah keikhlasan jiwa yang ada pada kedua-dua pihak. Pihak yang menasihati melakukan nasihat dan peringatan hanya kerana Allah, semata-mata untukNya. Tidak kerana inginkan kerusi politik, atau memenangkan parti yang dipimpin, atau kerusi yang dia bertanding, atau jawatan yang dia pegang.

Jika adapun jawatan mereka, itu tidak pernah membawa mereka merubah hakikat agama Allah. Mereka hidup dalam kezuhudan iaitu jiwa tidak bergantung harap kepada habuan pemerintah. Bebas lagi merdeka jiwa mereka. Namun benar-benar berjiwa hamba di hadapan kebesaran kerajaan Allah Yang Memerintah langit dan bumi.

Dari keikhlasan jiwa pemberi nasihat, Allah anugerahkan penerimaan di pihak yang dinasihati, jika yang dinasihati itu masih wujud keikhlasan dan keinginan untuk kembali kepada Allah. Kita tidak pernah mendengar dalam sejarah tokoh-tokoh ulama terbilang umat ini kempen ‘maki hamun’ yang dilancar terhadap pemerintah. Padahal bukan sedikit jua kejahatan pemerintah dalam sejarah yang lepas pun. Tetapi kita sering dengar nasihat yang ikhlas dan tegas. Bebas dari kepentingan dan keinginan kepada dunia. Maka, sepanjang sejarah lepas –walaupun banyak juga kecacatan dan kelemahan- kekuatan umat ini terus dapat dipelihara.

Namun apabila masa berubah, para pemerintah ramai yang sudah tidak ada masa untuk mendengar nasihat dan bicara ulama atau berdamping dengan mereka. Sekalipun ramai pemerintah yang masih ada masa untuk menghadiri bicara dan dendangan artis. Sementara ada golongan yang cuba memakai gelaran agama pula, cuba bergaya artis apabila muncul di hadapan pemerintah. Bicara atau ceramah mereka samada untuk melucukan hati pemerintah, atau mengampu mereka.

Ramai pemerintah gagal melihat kewibawaan ilmu dan ketelusan prinsip golongan yang berlebel agama di zaman kini. Lalu mereka tidak merasa hebatnya ilmu dan lazat menikmati keindahan Islam. Ini mungkin berpunca dari sebahagian para penceramah agama adalah insan-insan kontang dari ilmu Islam yang sebenar dan hanya mengutip buku-buku jalanan untuk dijadi bahan semasa ceramah atau forum. Dicampur pula dengan kesingkatan akal dan kerendahan lojik sesetengah penceramah sehingga Islam digambarkan bagaikan cerita kartun atau ‘gelanggang raja lawak’ yang memperbodohkan orang ramai.

Hadis-hadis palsu dan cerita-cerita dongeng yang dikaitkan dengan wali atau individu itu dan ini pun dijadikan bahan ceramah agama. Maka ada pemerintah yang hati kecil mereka mula menganggap bicara agama itu hanya boleh didengar jika ada masa lapang. Ceramah agama bagi golongan agama yang seperti ini bukan bertunjang untuk mengangkat imej umat ke arah kefahaman yang betul dan Islam yang tulen. Tetapi tidak lebih sekadar kegiatan seni atau sumber pendapatan sampingan, bahkan ada yang menjadikannya sumber pendapatan utama. Sehingga ada yang sanggup menjadi bahan iklan barangan tertentu.

Kelompok agama yang seperti inilah yang menghilang wibawa agama ini di hadapan mata pemerintah. Kata Salamah bin Dinar di hadapan Khalifah Sulaiman bin ‘Abdul Malik: “Telah berlaku di mana para umarak mencari ulama, lalu mengambil manfaat daripada mereka. Maka yang sedemikian kebaikan untuk kedua-dua pihak. Namun hari ini, ulama pula yang mencari umarak, lalu cenderung kepada umarak dan inginkan apa yang dimiliki oleh mereka. Lalu umara menganggap: tentu apa yang ulama cari yang ada di tangan kita lebih baik daripada apa yang ada di tangan mereka”. (Ibn, ‘Asakir, Tarikh Dimasyq, 22/29)

Justeru itu, Allah tidak pernah menyamakan mana-mana golongan dengan anjing melainkan golongan ulama yang menjual ilmunya untuk mendapat habuan dunia semata. Firman Allah: (maksudnya) “Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat Kami. Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan, maka dia dari kalangan yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami angkat kedudukannya (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu, tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika Engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir (Surah al-’Araf: 175-176).

Ulama yang gilakan dunia bukan hanya dengan mengampu pemerintah, tetapi juga mungkin dengan mengampu orang ramai atau kelompok tertentu supaya mendapat nama atau jawatan tertentu di kalangan puak tersebut. Maka wujud kelompok pemaki-hamun pemerintah atau sesiapa yang tidak disukai mereka dengan menyalahgunakan nas-nas agama.
Mungkin mereka ikhlas ingin membetulkan, tapi tersalah cara. Atau tujuannya, untuk menggembirakan perasaan penyokong dan menunjukkan kejaguhan sendiri. Ceramah ala sebegini sebenarnya mempunyai pasarannya yang tersendiri di kalangan pengikut aliran tersebut. Bukan sedikit jua wang yang boleh dihasil dengan ceramah ‘gaya kuak maki-hamun’ ini. Namun, di manakah wajah keindahan Islam hendak dicari di celahan pencemaran yang seperti ini?! Di manakah pula ruang kesedaran yang hendak buka apabila kalimat-kalimat kesat mengambil tempat?!

Para ulama yang zuhud dahulu, mereka hadir dengan keikhlasan jiwa bertemu dengan pemerintah dan memberikan pandangan dan nasihat yang berfaedah. Kata-kata mereka bagaikan mutiara yang berharga. Ungkapan mereka indah dan bermakna. Mereka hidangkannya di atas dulang keikhlasan jiwa ilmuwan yang mengharapkan redha Tuhan.
Namun para pemerintah pun telah banyak yang berubah. Sesetengah mereka hanya inginkan ulama bagaikan patung yang hanya dipacak tanpa fungsinya. Hadir sekadar untuk menghiasi majlis supaya orang nampak ada ulama yang hadir. Kemudian pandangan dan pendapat mereka tidak ditanya.

Ulama pula ada yang memang seronok dengan majlis-majlis kebesaran, menikmati hidangan-hidangan hebat dan hotel-hotel mewah lalu memandulkan peranan kewujudan diri mereka yang sepatutnya. Ada pula yang dilantik sekadar untuk membaca doa dalam majlis. Apa yang dia fikirkan hanyalah skrip doanya yang diubah-ubah sedikit sebanyak berdasarkan perubahan majlis.

Barangkali majlis berlangsung berjam-jam, doanya sekadar lima minit dan selebihnya dia hanya menjadi penonton yang setia. Jika dia hanya berfungsi demikian, maka doa hanya upacara yang dibaca tanpa makna dan baki hayatnya banyak yang sia-sia. Tiada hasil ilmiah yang dikeluarkan, tiada pemikiran kebaikan yang dilontarkan dan tiada umat yang dipimpinnya.
Peranan ulama tentu lebih dari itu semua. Saya amat dukacita apabila ada yang cuba membataskan peranan saya dengan berkata mufti tidak patut menulis dalam akhbar, atau berbicara tentang politik, ekonomi, kebajikan awam, hak bukan muslim, seni, artis dan berbagai. Demikian pemikiran menyempitkan agama menguasai kelompok agama itu sendiri.

Saya ingin beritahu orang sebegini bahawa saya tidak memiliki jubah khas seperti yang dimiliki oleh orang lain. Mungkin kerana saya kurang berkemampuan memilikinya, atau saya belum pandai memakainya. Jika anda ingin merampasnya daripada saya, maaf ianya tiada pada saya.
Namun jika anda ingin mematahkan pena saya, atau menghalang saya berfikir dan merumuskan ilmu berdasarkan kadar pengetahuan yang Allah rezekikan kepada saya, saya akan mempertahankan hak saya. Jika saya gagal, demi sesungguhnya saya akan meninggalkan jawatan ini tanpa sebarang kekesalan. Ketahuilah kemerdekaan minda yang berpaksikan hujah dan dalil lebih berharga dari segalanya.

Saya adalah orang yang tidak percaya bahawa umarak itu semesti terdiri dari golongan ulama. Dalam bahasa semasa, saya tidak berpegang kepada pandangan pemerintah mesti berserban dan berjubah. Tetapi saya berpegang bahawa pemerintah mesti berwibawa memimpin dan amanah.

Tiada nas yang mewajibkan hanya ulama yang boleh menjadi umarak. Walaupun ada buku-buku siasah karangan tokoh-tokoh Islam yang menyebut demikian. Bahkan mereka mensyaratkan seorang pemerintah mestilah mujtahid (ahli ijtihad). Namun itu hanya satu pandangan atau ijtihad.

Nas-nas Islam secara jelas hanya mewajibkan keadilan dan keharmonian hubungan antara tindakan umarak dengan ajaran Allah dan rasulNya. Kebanyakan umarak dalam sejarah umat ini juga bukan ulama. Jika umarak itu bukan ulama pun, keadilan yang dikehendaki oleh Islam dapat dicapai dengan ikatan yang mesra antara dua golongan tersebut.

Tetapi pasti si jahil totok tentang agama tidak boleh memimpin umat. Seperti mana jika seorang yang dianggap ulama sekalipun tetapi jahil atau tidak berwibawa memimpin maka dia tidak layak dilantik menjadi pemimpin. Lihatlah apa yang berlaku kepada Indonesia apabila ‘Pak Kiyai Gusdur’ memerintah negara tersebut.

Di samping golongan ulama tidak boleh jumud dalam melontarkan pandangan-pandangan berhubung dengan politik islami. Siasah atau politik dalam Islam lebuhrayanya amat luas. Jangan dijadikan ianya lorong kampung yang sempit.

Maka selalulah mengingati apa yang disebut oleh sarjana besar Islam al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H): “Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah Islam itu segalanya keadilan, kebaikan dan hikmat. Maka setiap perkara yang terkeluar dari keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada yang berlawanan dengannya, dari kebaikan kepada kerosakan, dari hikmat kepada sia-sia maka ianya bukan syariah Islam sekalipun diberikan takwilan untuknya”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqqi’in, 3/3, Beirut: Dar al-Jail).

Maka fungsi ulama tidak semesti berpolitik secara langsung, tetapi menasihati dan mengingatkan umarak agar negara sentiasa berada atas landasan keadilan dan kemaslahatan rakyat. Bukan kerja ulama sekadar memacak slogan-slogan agama tetapi tidak membawa makna kepada hakikat keadilan dan kemaslahatan rakyat seperti yang dituntut oleh ruh agama Islam ini.

Atau, tidak salah untuk ilmuwan agama itu sendiri menjadi ahli politik seperti para khalifah al-Rasyidin, ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz dan beberapa orang yang lain, jika mereka mempunyai karisma kepimpinan yang diperlukan. Bahkan inilah yang lebih afdal. Ini kerana kewibawaan dan kesolehan mampu membawa kedamian, keamanan dan keberkatan.

Firman Allah: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.” (Surah an-Nisa’ ayat 58).

Enjin Jasad Ini Perlu Dijaga

Lama sudah rasanya tidak menyulam kata, mengungkap bicara. Haraplah nukilan ini sebagai permulaan cetusan minda serta luahan rasa dari hamba yang dhaif lagi alpa. Sibuk dengan kerja dan pelajaran bukan alasan untuk kita tidak menyebarkan ilmu. Ilmu itu sifatnya untuk dikongsi,bukan disimpan.

Ayuh kita bicara soal hati manusia. Seringkali terlihat seorang bayi merengek mahukan belaian manja dari ibunya. Datang menerpa satu persoalan. Jika badan bayi kerapkali inginkan sentuhan manja ibunya, hati ini apa kurangnya. Seakan ingin meronta memohon petunjuk keimanan dari Tuhan-Nya. Dari hati datanglah fasad, dari hati juga datangnya khairat. Seperti apa yang dimaksudkan dalam hadith junjungan:

“....Dan demi sesungguhnya, dalam setiap jasad itu punya segumpal daging. Jika baik daging itu, maka akan baiklah keseluruhan jasadnya. Dan apabila rosak daging itu, maka akan rosaklah keseluruhan jasad itu. Dan demi sesungguhnya ia adalah hati.” (Muttafaqun alaihi).

Manusia selalu mementingkan soal penampilan diri,wajah dan sebagainya. Tetapi kita seakan lupa bahawa hati ini juga perlukan penjagaan rapi, perlukan pemerhatian ketat dari pemiliknya. Hati sering diisi dengan perkara yang sia-sia belaka. Tidak seperti yang dianjur oleh Tuhan Sekalian Alam dalam firmannya yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya dengan mengingati Allah itu, akan bisa menenangkan hati-hati.” (ar-Ra’du 13:28)

Buat akhirnya, pesanan untuk diri ini dan rakan-rakan sekalian. Jagalah hati di usia muda ini supaya tidak keras di hari mukanya. Seperti kuali, jika setiap hari dibasuh dan dicuci belakangnya, maka berkilatlah ia. Jika tidak dibasuh setiap hari, amatlah susah untuk menanggalkan kotorannya yang sudah melekat lagi terikat. Janganlah kita lupa untuk mengingati Dia Yang Maha Esa. Kerana hatilah enjin jasad ini.Wallahu A’lam.